15 November 2010

PENGALAMAN MASUK HOSPITAL (PART 1)

Assalamualaikum...
Makan masa sebenarnya untuk menulis tapi ini cara untuk aku luahkan apa yang terbuku di hati. Dan baru hari ini aku punya kekuatan diri untuk menulis. Jika ikutkan hati, aku mahu lupakan semuanya. Jika dapat aku putarkan masa … aku tak ingin ianya berlaku tapi ianya sudah tertulis. Sebagai orang islam, aku harus redha menghadapi semua dugaan yang Allah berikan.
Aku menulis “Cerita Tentang Qayyum” hanyalah untuk pengalaman dan tauladan. Tidak bermaksud menagih simpati.
10.11.2010 (Rabu)
Hari ini ada latihan sukan di sekolah Qayyum. Seperti kebiasaan, setiap pagi kami 4 beranak akan menaiki motorsikal menuju ke sekolah anak-anak terlebih dahulu kemudian baru ke tempat kerja.
Memang kelakuan anak keduaku, Firhan Qayyum agak aneh hari ini. Nenek jugak berkata begitu. Nenek kata muka Qayyum lain pagi itu.
Rupa-rupanya, perubahan itu telah merubah kehidupan anakku Qayyum. Malang memang tidak berbau ...
Selalunya, kakak Balqis akan duduk di hadapan dan Qayyum ditengah-tengah antara aku dan suamiku. Dan selalunya kaki Qayyum akan dinaikkan ke atas pahaku tapi tidak pulak hari itu. Dan aku juga tidak mengingatkan dia hari itu. Sampai di satu persimpangan tidak jauh dari rumah mak, Qayyum menjerit.
“Mama…kaki adik ma” katanya agak perit. Ya! Allah abang! Kaki anakku hampir terkulai dan berlumuran darah.
“Astagfirullahalazim” Suami dengan pantas membawa kami menuju ke klinik berdekatan. Dan aku bagaikan orang gila menjerit-jerit di atas motor..sedangkan Qayyum sedikitpun tidak menangis Cuma menyeringik menahan kesakitan.
Kakinya termasuk dalam sportrim motor. Hampir terkulai. Dan tulang di bahagian pergelangan kakinya hancur (setelah diberitahu doktor baruku tahu).
Dari klinik, aku terus menelefon abah dirumah. Abah datang menghantar kereta. Dan Abah bawa pulang motorsikal kami. Dengan segera kami menuju ke Hospital Sungai Buloh. Dalam kereta aku masih menggogoi menangis. Qayyum Nampak tenang dan langsung tidak menangis tapi mahu terlena. Aku memeluknya sekuat hatiku. Ya! Tuhan, tolong selamatkan anakku. Permudahkan urusan kami Ya! Allah …
Sampai di hospital, kami terus ke bahagian kecemasan. Qayyum masih tidak menangis. Cuma menyeringik menahan kesakitan. Sehingga petugas hospital sampai barulah dia menangis. Dan aku tidak boleh mendengar tangisannya. Hati aku meruntun pedih sangat ketika itu. Aku fikir, lebih baik aku menanti diluar sahaja dari terus menangis di hadapan Qayyum.
Ketika itu … aku seakan sudah tidak malu menangis dan terus menangis dihadapan orang ramai. Nasib baik anakku Balqis menemaniku. Dan aku masih mundar mandir diruangan menunggu sambil berdebar menanti kata-kata doktor. Aku tak kisah pandangan pelik penghuni di hospital itu lagi.
Hampir setengah hari Qayyum masih berada di dalam wad kecemasan menarung kesakitan. Biasalah prosedur hospital kerajaan. Tunggu dan tunggu lagi.
Aku memang tidak keruan tapi aku tidak berdaya untuk menghadap wajah anakku Qayyum. Tidak lama kemudian, lalu suamiku memanggilku kerana doktor mahu berjumpa dengan waris, Ku lihat kaki anakku telah dibalut namun darah masih banyak mengalir.
Beberapa doktor datang mengerumuni Qayyum sambil menerangkan apa yang telah terjadi dan patut dilakukan pada anakku. Hatiku makin pedih. Air mata semakin laju mengalir walaupun di hadapan doktor. Aku sudah hilang malu.
Doktor menerangkan … pembedahan akan dilakukan tapi mereka perlu menunggu doktor pakar pembedahan sampai  Buatlah apa sahaja doctor … asalkan anak aku selamat. Mohonku penuh simpati.
Aku tenung wajah tenang Qayyum. "Adik....sakit tak?" Ya! Allah...sayunya hatiku memandang wajah kecil itu. Betapa beratnya ujianmu Ya! Rabbi. Seandainya dapat digalang ganti. Pasti aku akan menggantinya. Biar aku yang menanggung kesakitan itu. Kenapa anakku Ya! Tuhan? Astagfirullah.....
"Mama...adik taknak tengok Mama kat sini. Mama pergilah jaga kakak. Babah boleh jaga adik". Pinta Qayyum.
Ya! Tuhan. Sesungguhnya Engkau mengurniakan aku anak yang begitu kuat buatku Ya!Allah. Engkau kurniakan kekuatan yang luar biasa buat anakku Ya! Allah.
Terima kasih buat suamiku kerana meminjamkan kekuatanmu pada anak kita. Maafkan sayang..kerana tidak kuat untuk menghadapi semua ini. Aku tahu, dia juga bertarung dengan pelbagai perasaan yang mana satu harus dijagainya. Dan dia terpaksa pura-pura kuat.
Hampir 6 jam berpuasa … kini masa untuk pembedahan Qayyum. Aku mengiringi sehingga ke wad sahaja. Kakiku kaku terus untuk melangkah ke ruang pembedahan. Biarlah suamiku seorang sahaja yang jadi peneman anakku. Aku cium puas-puas anakku.
Sepanjang malam aku tidak keruan. Aku menuju ke ruang solat. Sambil menadah tangan memohon agar dipermudahkan pembedahan anakku. Semoga selamat semuanya. Lalu aku disapa seorang kakak yang turut bersolat diruang solat itu. Mungkin melihat aku terus menangis, dia bertanya apa yang telah terjadi padaku. Setelah menceritakan segalanya .. kakak itu terus memujukku. Katanya, anaknya sedang bertarung dengan penyakit leukemia. Lagi besar dugaan kakak itu alami rupanya. Aku patut lebih bersyukur. Setelah berterima kasih atas kata-kata semangatnya, aku kembali menanti Qayyum dan suamiku di wad.
Ketika ini Qayyum sudahpun berada di bilik pembedahan. Jantung aku semakin berdebar. Ya! Allah...aku mohon padamu..selamatkan anakku. Pulihkan semula anakku Firhan Qayyum. Engkau kurangkanlah kesakitan anakku Ya!Allah. Tidak sanggup aku melihat kesengsaraan dia Ya!Allah. Sesungguhnya Engkau maha mendengar lagi maha mengasihani. Kuatkanlah semangat suamiku..semangat anakku..semangatku..agar dapat bertahan dengan ujianMu ini. Amin.
Alhamdulillah lewat jam 12.00 tengah malam anakku selamat menjalani pembedahan. Hatiku masih berdebar menunggu keputusan pembedahan itu besok pulak.Ya!Allah...ku mohon sekali lagi..selamatkan anakku Firhan Qayyum. kasihanilah dia..dia masih kecil untuk mengerti kesakitan itu Ya!Allah.

No comments:

Post a Comment